SI KACAK & SI JELITA

Sunday, October 31, 2010

NASIHAT LUQMAN KEPADA ANAKNYA.

permata.hati


     Dalam Al-Quran terdapat sebuah surah yang dinamakan surah Luqman, iaitu surah ke-31. Didalamnya Allah menyatakan "Sesungguhnya Kami telah kurniakan kepada Luqman 'al-Hikmah', bahawa bersyukurlah kepada Allah! Sesiapa yang bersyukur maka dia bersyukur kepada dirinya sendiri; dan sesiapa yang kufur maka sesungguhnya Allah Maha Kaya dan Amat Terpuji" (ayat 12). Al-Quran tidak menerangkan siapakah Luqman itu sebenarnya - apakah dia seorang rasul, pendeta atau ulama. Al-Quran hanya menyebut dia seorang yang telah dikurniakan al-Hikmah. Walau apapu, tentulah dia seorang yang sangat istimewa di sisi Allah, hingga namanya diabdikan di dalam kitab suci-Nya. Dan setelah menyatakan bahawa dia telah dikurniakan 'al-Hikmah' al-Quran menceritakan bahawa Luqman telah mengajar anaknya, seperti berikut (ayat 13-19).

     Dan tatkala Luqman berkata kepada anaknya, sewaktu dia memberinya nasihat: Wahai anakku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah, sesungguhnya perbuatan syirik itu satu kezaliman yang besar. (13)

     Dan Kami wasiatkan kepada manusia terhadap kedua ibu bapanya. Ibunya mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan, dan menyusuinya dalam tempoh dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; kepada Akulah jua tempat kembali. (14)

     Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan dengan-Ku sesuatu yang engkau tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka. Dan bergaullah dengan mereka dengan cara yang baik, dan turutlah jalan orang-orang yang kembali kepada-Ku. Kemudian, kepada Akulah tempat kembali kamu semua, maka Aku akan menerangkan kepadamu segala yang kamu telah kerjakan. (15)

     Wahai anakku! Sesungguhnya jika ada sesuatu sebesar biji sawi sekalipun, di dalam batu besar atau di langit ataupun di bumi, nescaya akan didatangkan oleh Allah, kerana sesungguhnya Allah Amat Halus pengetahuan-Nya lagi Amat meliputi. (16)

     Wahai anakku! Dirikanlah sembahyang dan suruhlah berbuat kebaikan serta laranglah perbuatan mungkar, dan bersabarlah atas bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara yang sangat penting. (17)

     Dan janganlah engkau palingkan mukamu dari manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong dan membangga diri. (18)

Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara kaldai. (19)


RUKUN ISLAM.

satu.dua.tiga.empat.lima


RUKUN ISLAM
Ertinya menyembah dan mengabdikan diri kepada Allah melalui seluruh kehidupan kita, jiwa raga kita dan harta milik kita sehingga tertegaknya keislaman yang sempurna.

satu. MENGUCAP DUA KALIMAH SYAHADAH
"Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah." Dengan syahadah kita mengabdikan diri dengan hati sanubari dan dengan pengakuan lidah kita bahawa Tuhan yang Maha Esa itu adalah Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW adalah pesuruhNya.

dua. SOLAT LIMA WAKTU SEHARI SEMALAM
Dengan sembahyang, kita mengabdikan seluruh tubuh badan kita menyembah kepadaNya. Mulai dari lidah membaca, tangan bergerak, mata, telinga dan fikiran terpusat dengan mengikut susunan rukun sembahyang yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW.

tiga. MENGELUARKAN ZAKAT
Dengan zakat, kita mengabdikan kepada Tuhan dengan menyerahkan sebahagian dari harta milik kita kepada mereka yang berhak menerimanya mengikut agama.

empat. BERPUASA PADA BULAN RAMADHAN
Dengan berpuasa, kita mengabdikan hawa nafsu dan segala keinginan kita kepada Allah. Dengan menahan nafsu makan dan minum serta menjauhi segala laranganNya, secara tidak langsung akan melahirkan rasa keinsafan di dalam peribadi kita serta meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT.

lima. MENGERJAKAN HAJI DI BAITULLAH
Dengan mengerjakan Haji, kita menyembah Allah dengan harta kekayaan milik kita, dan mengunjungi ke Baitullah kepada mereka yang mempunyai kemampuan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

IMAN, ISLAM DAN EHSAN.

kasihsayang

Hadis sahih Muslim, daripada Abdullah bin Umar, katanya Umar al-Khattab ayahnya bercerita kepadanya seperti berikut :

Pada suatu hari kami berada di sisi Rasulullah SAW, tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang berpakaian sangat putih dan rambutnya hitam pekat. Sama sekali tidak nampak pada dirinya tanda-tanda seperti orang yang datang dari jauh. Tetapi tidak seorang pun daripada kami yang mengenali lelaki tersebut. Dia duduk dekat dengan Nabi SAW. Dia menyandarkan kedua lututnya kepada kedua lutut Rasulullah. Dia juga meletakkan kedua tapak tangannya di atas kedua pahanya sendiri.

Dia berkata, "Wahai Muhammad, beritahu kepadaku mengenai Islam."

Rasulullah SAW bersabda, "Islam itu hendaklah kamu bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan bahawasanya Muhammad adalah utusan Allah. Hendaklah kamu mendirikan solat, membayar zakat, mengerjakan puasa Ramadhan, dan menunaikan ibadah haji jika mampu dalam perjalanan."

Lelaki itu berkata, "Kamu berkata benar."

Umar berkata : Tentu saja kami berasa hairan kepada orang iut, sebab dia yang bertanya dan dia sendiri yang membenarkan (jawapan Rasulullah).

Lelaki itu berkata lagi, "Beritahu kepadaku mengenai iman."

Rasulullah menjawab, "Hendaklah kamu beriman kepada Allah, para malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, para rasul-Nya, beriman kepada hari akhir dan juga kepada qadar-Nya yang baik dan yang buruk."

Lelaki itu berkata, "Kamu telah berkata benar." Kemudian beliau menyambung, "Beritahukan kepadaku mengenai ehsan."

Rasulullah bersabda, "Hendaknya kamu menyembah Allah seakan-akan kamu melihat-Nya. Jika kamu tidak berasa melihat-Nya maka hendaklah kamu merasa dilihat oleh-Nya."

Lelaki itu berkata lagi, "Beritahukan kepadaku tentang hari kiamat."

Rasulullah menjawab, "Tidaklah orang yang ditanya lebih mengetahui dibandingkan dengan yang bertanya."

Lelaki itu berkata, "Kalau begitu beritahukan tentang tanda-tandanya sahaja."

Rasulullah bersabda, "Kalau sudah ada perempuan melahirkan tuannya; kalau kamu telah menyaksikan orang-orang yang tidak beralas kaki dan tidak berpakaian dari kalangan orang-orang melarat pengembala kambing saling berlumba-lumba mendirikan bangunan yang tinggi."

Umar berkata: kemudian lelaki itu pun pergi. Setelah berlalu beberapa hari akhirnya Rasulullah berkata kepadaku, "Wahai Umar, tahukah kamu siapakah lelaki yang (beberapa hari lalu) mengajukan pertanyaan?" Aku menjawab: Hanya Allah dan Rasul-Nya saja yang mengetahui. Rasulullah bersabda, "Sesungguhnya dia adalah Jibrail. Dia datang kepada kalian untuk mengajarkan agama kepada kalian semua."


(ImamAn-Nawawi,SyarahShahihMuslim(Terj),Buku1,1994,Mustaqiim,Jakarta,ms295-296)

MADINAH BINA MASYARAKAT BARU ISLAM.

jalan-lurus

     Piagam Madinah menjadi asas kuat pembinaan sebuah negara berpaksikan kepada ajaran-ajaran Islam. Tanpa ada pihak-pihak yang boleh menyalahgunakan kuasa demi apa juga kepentingan diri sendiri.

     Sama sekali selaku pemimpin, Rasulullah SAW tidak meletakkan kepentingan dirinya mengatasi soal-soal kebajikan dan kehidupan masyarakat. Benar-benar rakyat didahulukan. Malah baginda sangat menghargai kepercayaan yang diberi dengan menghabiskan banyak masa baginda bersama penduduk Madinah.

     Contoh paling ketara, sepanjang hayat baginda, kecuali solat sunat dan qiamulail, baginda tidak pernah mendirikan solat lima waktu sehari semalam secara bersendirian, kecuali berjemaah bersama dengan seluruh umat Islam yang lain.

     Yang pasti sembahyang berjemaah itu menjadi saluran peling efektif untuk mendekatkan diri baginda sambil mengambil tahu akan segala masalah dan kesusahan para pengikut baginda. Begitupun Piagam Madinah tetap kekal relevan digunapakai sehingga ke hari ini supaya menjadi rujukan dan contoh kepada mana-mana negara yang mempunyai rakyat berbilang bangsa dan agama tetapi masih boleh hidup aman damai di bawah naungan dan lindungan satu Piagam sebuah negara Islam.

     Ini kerana dengan piagam itu, baginda telah mengorak langkah dengan membina asas-asas masyarakat baru Islam yang lebih dinamik dan maju ke hadapan. Dalam segala aspek, tanpa tertumpu kepada mana-mana soal ibadat semata-mata.

     Di tambah, baginda dibantu oleh para sahabat yang masing-masing mempunyai budi pekerti yang sangat luhur dan mulia. Tiada tandingannya apabila kita menyebut nama-nama seperti Abu Bakar As Siddiq, Umar Al Khattab, Uthman Al Affan dan Ali Abi Talib serta begitu ramai lagi sahabat besar yang lain.

     Dalam memperkatakan para sahabat baginda itu, maka ia sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abdullah Mas'ud; "Barang siapa yang hendak mengikut sunnah maka ikutlah sunnah orang yang telah mati. Sesungguhnya orang yang hidup belum tentu selamat daripada terjebak dalam fitnah".

     "Mereka itulah para sahabat Rasulullah SAW. Mereka ialah manusia paling mulia di kalangan umat ini, paling baik hati, paling dalam ilmu pengetahuannya dan paling tidak memberatkan diri (ringan tulang).

     "Allah memilih mereka untuk menjadi sahabat Nabi membantu baginda menegakkan agama-Nya.

     "Justeru itu kenalilah kelebihan mereka dan ikutlah jejak langkah mereka. Berpeganglah sedaya upayamu dengan akhlak dan perjalanan hidup mereka. Sesungguhnya mereka berada di atas petunjuk yang lurus".

     Semua ini apabila baginda sering mengajar, memdidik dan membersihkan jiwa mereka serta menggalakkan mereka berbudi pekerti mulia, adab, kasih sayang, persaudaraan, sifat-sifat mulia, terkun beribadat, rajin dalam pekerjaan dan mentaati pemerintah. Pernah seorang lelaki bertanya kepada baginda: "Apakah ajaran Islam yang terbaik?" Jawab baginda; "Kamu memberi (sedekah) makan dan mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal atau tidak kenal".

     Pemimpin kaum Yahudi di Madinah, Abdullah Salam pernah meberitahu apabila setibanya Nabi Muhammad ke Madinah, beliau pun terus menemui baginda dan setelah memerhatikan rupa paras baginda, Abdullah Salam terus mempercayai baginda kerana cahaya kejujuran dan keikhlasan yang jelas terpancar daripada wajah baginda.

     Maka antara ucapan awal yang diucapkan oleh baginda ketika itu; "Wahai manusia, berilah makanan kepada yang memerlukan, hubungkan silaturrahim dan bersembahyanglah di waktu malam tatkala orang lain sedang tidur, nescaya kamu akan dapat masuk syurga dengan sejahtera".


(sumber:utusanmalaysia2710201012)

Saturday, October 30, 2010

HIKMAH MANDI WAJIB.


bermandi-mandian
SOALAN 1 :
Kenapa kita perlu manji wajib setelah bersetubuh dan bagaimanakah cara-cara mandi wajib?

Jawapan :
Perintah mandi wajib merupakan tuntutan syarak berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud : Dan jika kamu berjunub ( berhadas besar ) maka bersucilah dengan mandi wajib. ( al-Maidah: 6 )

Di antara hikmah mandi wajib ialah menyegarkan tubuh badan, mengembalikan keceriaan minda dan menyucikan hati. Oleh yang demikian, cara-cara mandi wajib pula meliputi rukun dan perkara-perkara sunat seperti berikut :

     A. Rukun mandi wajib :
         a) menghilangkan najis yang ada di badan terlebih dahulu.
         b) berniat
         c) meratakan air ke seluruh badan

     B. Perkara-perkara sunat :
         a) mengadap kiblat
         b) menmbaca Bismillah ketika memulakan mandi
         c) mengambil wuduk sebelumnya
         d) menggosok seluruh badan bagi menghilangkan kotoran yang melekat
         e) mendahulukan anggota tubuh sebelah kanan kemudian sebelah kiri
         f)  membasuh sebanyak 3 kali
         g) mengosok-gosokkan sebanyak tiga kali dan seterusnya


SOALAN 2 :
Adakah sah mandi wajib sekiranya mewarnakan rambut dengan pewarna yang halal?

Jawapan :
Sah mandi wajib sekiranya bahan yang digunakan itu halal dari hukum syarak dan telap air.


sekian,
terima kasih~

Friday, October 29, 2010

AWAL MULA IBLIS MEMUSUHI MANUSIA.



pokok-pokok

Kisah penciptaan manusia pertama oleh Allah SWT itu diulang-ulangi beberapa kali penceritaannya dalam Al-Quran. Setiap kali diulangi ia diberi penekanan yang berbeza. Dalan surah al-A'raf (surah ke-7) misalnya, apabila peristiwa itu diceritakan lagi, penekanan diberikan kepada sebab-sebab mengapa iblis tidak mahu tunduk kepada manusia. Di sini juga dijelaskan asal bermulanya permusuhan antara iblis dengan manusia. Suatu permusuhan yang abadi, bermula daripada detik manusia pertama diciptakan Allah di syurga, hinggalah ke hari-hari akhir sebelum kehidupan manusia di dunia ini diakhiri dengan kedatangan Kiamat. Al-Quran merakamkan ulangan peristiwa ini pada surah al-A'raf ayat 11-25, seperti berikut :

     Dan sesungguhnya Kami telah ciptakan kamu, lalu Kami bentuk rupa kamu, kemudian Kami berfirman kepada malaikat: "Sujudlah kepada Adam." Mereka semua sujud, kecuali iblis, dia tidak termasuk dalam golongan yang sujud. (11)

     Allah berfirman: "Apakah yang menghalangmu daripada sujud ketika Aku perintahkan kamu?" Dia menjawab: "Aku lebih baik daripada dia. Engkau ciptakan aku daripada api, dan Engkau ciptakan dia daripada tanah." (12)

     Allah berfirman: "Turunlah kamu darinya, kerana tidak patut kamu berlaku sombong di dalamnya. Oleh itu keluarlah. Sesungguhnya kamu dari golongan yang hina." (13)

     Iblis berkata: "Berilah aku tempoh hingga hari mereka dibangkitkan." (14)

     Allah berfirman: "Sesungguhnya kamu dari golongan yang diberi tempoh." (15)

     Iblis berkata: "Oleh kerana Engkau telah menghukum aku (tersesat), maka demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalang mereka (dari menjalani) jalan-Mu yang lurus. Kemudian aku akan datangi mereka dari hadapan mereka dan dari belakang mereka, serta dari kanan dan kiri mereka, dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka itu bersyukur." (16-17)

     Allah berfirman: "Keluarlah kamu darinya sebagai makhluk yang terhina dan terusir. Sesiapa di antara mereka yang mengikut engkau, tetap Aku akan penuhi neraka jahanam dengan golongan kamu semuanya." (18)

     "Dan wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu di dalam syurga, dan makanlah apa sahaja yang kamu berdua sukai sepuas-puasnya, dan jangan kamu hampiri pohon ini, kelak kamu berdua menjadi golongan yang zalim." (19)

     Maka syaitan pun membisikkan hasutan kepada mereka supaya menampakkan kepada mereka aurat mereka yang tertutup dari mereka sambil berkata, "Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu hampiri pohon ini melainkan kamu berdua akan menjadi malaikat atau orang-orang yang kekal." (20)

     Dan dia bersumpah kepada keduanya: "Sesungguhnya aku adalah dari golongan yang memberi nasihat kepada kamu berdua.: (21)

     Maka dianjurkanlah kedua mereka dengan tipudaya, dan setelah mereka merasai pohon itu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka bergegas menutupnya dengan daun-daun syurga. Maka tuhan pun menyeru mereka, "Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pohon itu, dan Aku telah katakan kepada kamu bahawa syaitan itu bagi kamu adalah musuh yang nyata?" (22)

     Mereka berdua merayu, "Wahai Tuhan kami! Kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak ampunkan kami dan berikan kami rahmat, nescaya jadilah kami orang-orang yang rugi." (23)

     Allah berfirman: "Turunlah kamu semua. Sebahagian kamu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain, dan bagi kamu disediakan tempat kediaman di bumi dan juga diberi kesenangan hingga ke suatu ketika." (24)

     Allah berfirman lagi, "Di bumi itu kamu hidup dan di situ juga kamu mati, dan daripadanya kamu akan dikeluarkan." (25)

  
(peringatanbersama)

TATKALA TUHAN MENCIPTA MANUSIA.


(:


Al-Quran menceritakan peristiwa penciptaan manusia yang pertama oleh Allah SWT, yakni Adam 'alaihis-salam (as), dalam surah al-Baqarah, ayat 30-38, seperti berikut :

     Dan ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat : "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi;" mereka berkata "Adakah Engkau hendak menjadikan di bumi itu makhluk yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih memuji-Mu dan mensucikan-Mu?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kamu tidak ketahui." (30)

     Dan Dia pun mengajarkan Adam akan nama-nama seluruhnya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat, lau Dia berfirman: "Terangkanlah kepada Aku nama benda-benda ini semuanya, jika kamu golongan yang benar." (31)

     Malaikat berkata, "Mahasuci Engkau, kami tidak punyai ilmu selain apa yang Engkau ajarkan kepada kami. Sesungguhnya Engkau jualah yang amat mengetahui lagi amat bijaksana." (32)

     Allah berfirman, "Wahai Adam, terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka." Maka setelah Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah berfirman: "Bukankah Aku telah katakan kepada kamu bahawa Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan? (33)

     Dan ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Tunduklah kepada Adam;" lalu mereka semua tunduk memberi hormat, melainkan iblis. Dia enggan dan takbur, dan jadilah dia dari golongan yang kafir. (34)

     Dan Kami berfirman: "Wahai Adam, tinggallah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah makanannya apa sahaja yang kamu berdua suka sepuas-puasnya dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu hampiri) maka akan jadilah kamu dari golongan orang yang zalim." (35)

     Setelah itu syaitan mengelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka berada di dalamnya, dan Kami berfirman: "Turunlah kamu, sebahagian kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain, dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa." (36)

     Kemudian Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimat, lalu Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah, Dialah yang amat pengampun lagi amat mengasihani. (37)

     Kami berfirman: "Turunlah kamu semua dari syurga itu! Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dari-Ku, maka sesiapa yang mengikut petunjuk-Ku nescaya tidak ada kebimbangan bagi mereka dan mereka pun tidak akan berduka." (38)


(peringatanbersama)

saya budak baru belajar.


Assalamualaikum..

senyum (:

1. saya baru di sini.
2. sila beri tunjuk ajar.
3. salam perkenalan.

Terima Kasih (: