permata.hati
Dalam Al-Quran terdapat sebuah surah yang dinamakan surah Luqman, iaitu surah ke-31. Didalamnya Allah menyatakan "Sesungguhnya Kami telah kurniakan kepada Luqman 'al-Hikmah', bahawa bersyukurlah kepada Allah! Sesiapa yang bersyukur maka dia bersyukur kepada dirinya sendiri; dan sesiapa yang kufur maka sesungguhnya Allah Maha Kaya dan Amat Terpuji" (ayat 12). Al-Quran tidak menerangkan siapakah Luqman itu sebenarnya - apakah dia seorang rasul, pendeta atau ulama. Al-Quran hanya menyebut dia seorang yang telah dikurniakan al-Hikmah. Walau apapu, tentulah dia seorang yang sangat istimewa di sisi Allah, hingga namanya diabdikan di dalam kitab suci-Nya. Dan setelah menyatakan bahawa dia telah dikurniakan 'al-Hikmah' al-Quran menceritakan bahawa Luqman telah mengajar anaknya, seperti berikut (ayat 13-19).
Dan tatkala Luqman berkata kepada anaknya, sewaktu dia memberinya nasihat: Wahai anakku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah, sesungguhnya perbuatan syirik itu satu kezaliman yang besar. (13)
Dan Kami wasiatkan kepada manusia terhadap kedua ibu bapanya. Ibunya mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan, dan menyusuinya dalam tempoh dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; kepada Akulah jua tempat kembali. (14)
Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan dengan-Ku sesuatu yang engkau tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka. Dan bergaullah dengan mereka dengan cara yang baik, dan turutlah jalan orang-orang yang kembali kepada-Ku. Kemudian, kepada Akulah tempat kembali kamu semua, maka Aku akan menerangkan kepadamu segala yang kamu telah kerjakan. (15)
Wahai anakku! Sesungguhnya jika ada sesuatu sebesar biji sawi sekalipun, di dalam batu besar atau di langit ataupun di bumi, nescaya akan didatangkan oleh Allah, kerana sesungguhnya Allah Amat Halus pengetahuan-Nya lagi Amat meliputi. (16)
Wahai anakku! Dirikanlah sembahyang dan suruhlah berbuat kebaikan serta laranglah perbuatan mungkar, dan bersabarlah atas bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara yang sangat penting. (17)
Dan janganlah engkau palingkan mukamu dari manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong dan membangga diri. (18)
Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara kaldai. (19)
No comments:
Post a Comment